Seorang lelaki telah didakwa atas kesalahan menghina Islam kerana dikatakan dirinya mengaku sebagai Allah dan nabi akhir zaman. Walaubagaimanapun, tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan hakim.
Seperti satu perkara yang tidak logik. Satu pengakuan tidak masuk akal bagi seorang bekas kapten kapal didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam kerana mengaku dirinya Allah dan Nabi akhir zaman. Bagaimanapun, tertuduh, Roslan Abdul Rahman, 44, mengaku tidak bersalah terhadap kesalahan yang didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Rembia Perkasa 14, Taman Rembia Perkasa, Alor Gajah, jam 3.15 petang kelmarin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengejek agama Islam dengan menyatakan ‘aku mengaku aku Allah’ dan ‘aku ini Nabi akhir zaman’.
Dia dituduh mengikut Seksyen 62, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu mempersenda agama Islam.
Sabit kesalahan, boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih 36 bulan atau kedua-duanya.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Syarie, Che Zam Zam Che Man di depan Hakim Syarie Mohd Asri Tahir.
Tertuduh mengejutkan mahkamah apabila tiba-tiba naik berang dan mempersoalkan tindakan pihak berkuasa menahannya.
“Benda itu (tuduhan wujud) lepas saya ditangkap, lepas semua kecoh. Apa kesalahan saya pada awal ditangkap, atas dasar apa?,” katanya dalam nada tinggi.
Mohd Asri kemudian menasihatkan tertuduh supaya menjawab soalan sama ada dia faham atau sebaliknya pertuduhan dan menyatakan pengakuan bersalah atau tidak.
Selepas keadaan tenang, tertuduh meminta pertuduhan dibacakan sekali lagi oleh jurubahasa yang mana dia kemudian mengaku tidak bersalah.
Che Zam Zam memohon tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM4,000 dengan dua penjamin dari kalangan ahli keluarga terdekat.
Tertuduh dalam reaksi spontan dengan nada keras memberitahu tidak mempunyai wang, selain tiada ahli keluarga terdekat.
Mohd Asri membenarkan permohonan Che Zam Zam dan menetapkan 15 Oktober ini untuk sebutan semula.