Di sebuah negara yang diganasi perang seorang gadis terpisah daripada adik lelakinya. Hilang sejak 6 bulan yang lalu, dia membayangkan yang terburuk – bahawa adiknya yang disayangi dan dikasihi sepenuh hati telah ditembak mati oleh musuh. Hendak melihat pintu bilik adiknya pun tidak sanggup.
Mindanya teringat-ingat bagaimana adiknya akan keluar dari bilik itu, memberi salam kepada semua orang dan teruja untuk belajar perkara-perkara baru.
Senyumnya, ketawanya, tenaganya – semua itu sangat dirinduinya. Kepedihan di hatinya begitu besar sehingga senyuman mula pudar daripada wajahnya.
Senyumannya hilang; hilang bersama suara dan kekuatannya untuk hidup.
Satu hari dia melihat sepasukan askar datang, tetapi bukan askar-askar musuh. Mereka adalah pasukan pengaman dan pekerja bantuan. Askar-askar itu kelihatan seperti mencari sesuatu, menggunakan alat yang tampak seperti pengesan jerangkap samar. Hairan, tempat itu telah dibersihkan daripada jerangkap samar minggu lepas.
Kemudian askar-askar itu mula menggali. Bukan setakat seorang dua tetapi keseluruhan skuad itu dengan dibantu jentera berat. Semakin dalam mereka menggali barulah dia sedar apa yang dilakukan askar-askar itu.
Mereka sedar membongkar sebuah kubur yang besar!
Banyak mayat dijumpai. Baunya menusuk hidung. Mayat-mayat bertimbun seperti akar pokok yang mati.
"Adikku adalah salah seorang daripada mereka," katanya kepada diri sendiri.
Ia suatu yang cukup menyeksa jiwanya apabila dia teringat kembali akan adiknya yang sangat disayangi.
Askar-askar itu bekerja siang dan malam untuk mengenalpasti setiap mayat. Mereka menggunakan segala peralatan dan maklumat yang ada untuk meletakkan nama pada setiap tubuh yang sudah tidak bernyawa.
Seperti dijangka, ketakutannya menjadi nyata. Berita itu menghempapnya bagai gunung yang runtuh. Dirinya terasa terumbang-ambing. Dia kehilangan sebab untuk hidup.
Dunia kini tidak bermakna lagi.
Askar-askar itu bersimpati dengannya tetapi tidak mampu membantu dalam soal hati. Untuk mengucapkan takziah kepadanya pun tidak mampu kerana mereka tidak bertutur bahasa yang sama.
Kemudian datang sebuah pasukan bantuan yang kecil, bukan aksar-askar tetapi sukarelawan. Askar-askar itu berjumpa dengan pasukan itu dan bertanya, "Ada tak pakar psiakatri di kalangan kamu?"
Ketua pasukan itu menunjukkan seorang doktor pakar psiakatri mereka. Lalu askar itu menceritakan kisah gadis itu dan membawa doktor itu menemuinya.
Doktor itu juga tidak bertutur bahasa yang sama dengan gadis itu tetapiberkongsi agama yang sama dengannya. Itu lebih baik daripada askar-askar tadi yang langsung tidak mempunyai persamaan dengannya.
Doktor itu berbicara kepadanya melalui seorang penterjermah, seorang saudara yang pengajian ijazahnya terhenti kerana perang. Penterjermah itu bukan sekadar menyampaikan kata-kata daripada doktor itu kepada gadis itu dan sebaliknya. Malah kata-kata bersama dengan emosi dan menyentuh hati gadis itu.
Doktor itu mengingatkan untuk berpegang utuh kepada Tuhan, serta mengapa dia harus terus tabah menempuhi hidup.
Nasihat-nasihat doktor itu mula membuka pintu hatinya.
Akhirnya, dia senyum kembali setelah berbulan-bulan tanpa senyuman.
Doktor itu bersyukur kepada Allah SWT. Dia sangat gembira kerana telah membantu untuk mengembalikan sebuah senyuman, dan sebuah kehidupan.